HALAMAN BLOG RASMI
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA

MAKLUMAN PENTING

Layari laman baru PUM di http://www.pum.org.my/. Kami menghargai komentar dan cadangan anda untuk penampilan yang lebih baik bagi laman web ini. KLIK

Kenali PUM


SEJARAH PENUBUHAN

Penubuhan PUM adalah lahir dari kesedaran para ulama’ yang menyertai Kongres Ekonomi Islam pada tahun 1972. Satu perjumpaan untuk membincangkan penubuhannya telah diatur oleh beberapa orang tokoh ulama’ dan ilmuan yang menyertai kongres tersebut iaitu pada 22 Safar 1392 bersamaan 8 April 1972 bertempat di Dewan Al-Malik Faisal MPI (kini Pusat Matrikulasi UIA) Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

Hasil perbincangan itu maka rancangan penubuhan Persatuan Ulama’ Malaysia di atur dimana Allahyarham Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim telah dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa Penaja, sementara Pengerusi Penaja ialah Allahyarham Haji Nik Muhd Muhyiddin Haji Musa dan Timbalan Pengerusi Penaja ialah Dr. Mohd Zin Othman.
Manakala Setiausaha Penaja ialah Dato’ Haji. Mohd Nakhaie Haji Ahmad, sementara Bendaharinya ialah Syed Harun Syed Abd. Rahman Al-Habsyi. Ahli-ahli Jawatankuasa Penaja lainnya terdiri dari Datuk Hj. Ghazali Abdullah dan Tuan. Hj. Arshad Masjuri.

Dua tahun kemudian, iaitu pada tahun 1974, PUM telah ditubuhkan secara rasmi dalam satu mesyuarat agung khas pertama yang diadakan di Kolej Islam Kelang, Selangor Darul Ehsan. Draf perlembagaan telah diluluskan di dalam mesyuarat tersebut. Bersempena penubuhan PUM itu telah diadakan seminar mengenai pendidikan Islam serta peranan ulama’ yang dihadiri oleh tokoh Islam dan mufti-mufti. Mesyuarat Agung pertama PUM ini telah memilih Allahyarham Hj. Nik Muhyiddin Musa sebagai Yang Dipertua PUM pertama.

OBJEKTIF DAN TUJUAN PENUBUHAN

Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) merupakan satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan politik yang mempertuankan institusi ulama’. Dalam Perlembagaan PUM sendiri Fasal 111 yang menjelaskan tujuannya:

  1. Menyatukan ULAMA Dalam harakah Islamiyah dan mengembelingkan tenaga untuk menegakkan syari’ah Islam dan mempertahankan kebenaran dan kemurnian ajarannya. 
  2. Meninggikan kedudukan dan taraf ‘ULAMA’ di dalam masyarakat. 
  3. Menjalankan usaha-usaha kebajikan untuk ahli-ahli. 
  4. Menjalankan usaha-usaha  penyelidikan ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah dan pengeluaran buku-buku ilmiah yang sah di sisi undang-undang serta menghidupkan karya-karya ilmiah Islam yang lama. 
  5. Bekerjasama dengan persatuan-persatuan Islam yang lain di dalam negeri. 
  6. Meninggikan nilai-nilai akhlak dan rohaniah di dalam masyarakat dan membasmi punca-punca keruntuhan moral. 
  7. Memainkan peranan dan memberi bimbingan kepada masyarakat untuk membina dan membangun ummah menurut Islam. 
  8. Menjalankan ikhtiar untuk menjayakan tujuan-tujuan di atas dan meninggikan imej persatuan ‘ULAMA’ Malaysia.


Fasal 111(A) perlembagaan PUM menyebutkan syarat-syarat menjalankan tujuan PUM berbunyi “sesuatu dasar mengikut tujuan persatuan yang hendak dijalankan hendaklah diusahakan dengan tidak bertentangan hukum syara’ dan Undang-Undang Majlis Agama dan Adat istiadat Melayu. Dalam fasal ini persatuan akan sentiasa menghubungi pihak Majlis Agama Islam dan adat-istiadat Melayu bagi mendapatkan nasihat dan pengetahuannya sebelum sesuatu kegiatan dapat dijalankan oleh persatuan”.

PUM berpegang kepada hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Kalau kamu melihat kemungkaran, ubahlah dengan tangan (kuasa). Jika tidak mampu, lakukan dengan lidah (lisan) dan jika tidak mampu juga, maka bantahlah di dalam hati. Itulah selemah-lemah iman.

KEAHLIAN

Takrif ulama’ ialah seseorang Muslim yang akil baligh, mempunyai ilmu yang mendalam dalam hal ehwal Islam dan beramal dengannya. Itu adalah prinsip asas yang disyaratkan untuk menjadi ahli. Oleh itu ramai yang tidak berani menjadi ahli kerana masing-masing menafikan mempunyai ilmu yang mendalam menegenai Islam. Sebenarnya syarat untuk menjadi ahli PUM cukup jelas dan mudah iaitu seseorang Muslim yang mencintai atau beriltizam dengan tugas ulama’ walaupun tidak begitu mendalam dalam ilmu Islam. Yang penting, cinta kepada Islam dan ingin melihat Islam terus dimartabatkan.

AKTIVITI DAN KEGIATAN

PUM secara dasarnya sentiasa menjalankan program-program yang berlandaskan dakwah dan menyebarkan risalah Islam, di samping memperjuangkan kemurnian pemikiran Islam di dalam masyarakat. Untuk itu, PUM telah menjalankan program-program dakwah di peringkat Pusat dan Cawangan. Ahli Jawatankuasa PUM juga, sama ada secara individu atau atas nama Persatuan kerap diundang untuk menyampaikan ceramah-ceramah umum dan kuliah di merata tempat seperti masjid-masjid, surau-surau, pejabat-pejabat kerajaan serta swasta dan lain-lain.
Antara kegiatan PUM yang lain, termasuklah membantu atau berperanan terus dalam memberikan input dan idea mengenai sesuatu isu atau perkara tertentu kepada pihak kerajaan atau mana-mana pihak yang berkaitan. Umpamanya, ketika konsep Perbankan Islam masih kabur dan tidak diyakini oleh masyarakat di negara ini, idea atau pemikiran mengenai Bank Islam dicetuskan melalui seminar anjuran PUM iaitu Seminar Ekonomi dan Bank Islam pada tahun 1982. Ekoran dari seminar tersebut, PUM menerbitkan sebuah buku iaitu 100 Soal Jawab Bank Islam. PUM juga telah bertindak menyelesaikan banyak persoalan-persoalan semasa seperti masalah Amanah Saham Nasional yang mana suatu ketika dulu dianggap sensitif, masalah pajak gadai Islam dan lain-lain isu yang relevan mengikut waktu tertentu.

PUM juga turut terlibat di peringkat antarabangsa. Delegasi / wakil PUM turut diundang ke luar negara seperti Brunei, Indonesia, Singapura, Britain, Mesir dan lain-lain negara; di samping menerima kunjungan tetamu dari luar negara seperti Pakistan, Kashmir, Amerika, Iran, Turki, British, Australia dan negara-negara Islam lain semata-mata untuk membincangkan persoalan umat Islam