HALAMAN BLOG RASMI
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA

MAKLUMAN PENTING

Layari laman baru PUM di http://www.pum.org.my/. Kami menghargai komentar dan cadangan anda untuk penampilan yang lebih baik bagi laman web ini. KLIK

Home , , › SALAM MERDEKA : NEGARA KITA TIDAK PERNAH DIJAJAH.

SALAM MERDEKA : NEGARA KITA TIDAK PERNAH DIJAJAH.


Oleh: Nik Muhd Marzuki Haji Muhd Nor < nikmmarzuki@yahoo.com>, Persatuan Ulama’ Malaysia.

SALAM MERDEKA ke-53! Sambutan ini mengingatkan Hari Merdeka, 13 Ogos 1957 yang selepasnya bermula ‘hari baru’, seterusnya tahun baru 2010! Sambutan tetahunan keramat lebih 50 tahun ini bersempena sebelum 50 tahun lebih dahulu kita pernah diperbudakkan selama 466 tahun. Tanpa ‘merdeka’ itu, tiada sambutan merdeka semeriah ini. Benarkah kita dijajah? Bagi akademis khasnya sejarawan, pernyataan bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah dijajah bukanlah isu baharu berbanding bagi khalayak awam.

Sejarah secara falsafah dapat ditinjau dari pelbagai aspek; epistemologi, ontologi, teleologi, kosmologi, eskatologi, nomologi dan aksiologi. Umumnya, mengikut Kamus DBP, ilmu sejarah bermaksud kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa yang telah lalu, tawarikh. Manakala, persejarahan bermaksud perihal sejarah, yang berkaitan dengan sejarah. Penyejarahan pula bererti penulisan sejarah.Mengikut penyejarahan, negara mengalami penjajahan berabad iaitu selama 446 tahun (1511-1957) seperti berikut:

1.       Portugis 1511-1641 (130 tahun)
2.       Belanda 1641-1824 (183 tahun)
3.       British 1824-1942 & 1945-1957   (130 tahun)
4.       Siam 1821-1909 (88 tahun)
5.       Jepun 1942-1945 (3 ½ tahun)       
5.
Apapun istilah negara yang anda ertikan, Bahagian 1 Perlembagaan membataskan istilah negara kepada ‘Persekutuan Malaysia’. Sejarawan sepakat bahawa Persekutuan Malaysia tidak pernah dijajah kerana ia dibentuk pada 16 September 1963 selepas ‘kemerdekaan’ Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Penjajahan berabad ke atas negara ditolak oleh sejarah dan Perlembagaan Persekutuan.

Yang ‘dijajah’ ialah ‘Semenanjung’? Jika ia merujuk kepada 12 negeri iaitu dari Johor ke Perlis, tahukah anda bahawa Portugis dan Belanda tidak pernah menjajah negara? Tanpa merekonstruksi penyejarahan, termaktub nyata Melaka satu-satunya yang terlibat dalam penjajahan itu. Negeri-negeri lain masih kekal berdaulat termasuk di zaman Thai dan Jepun! Kekuasaan Thai (Sokothai) sejak serangan Aluangpaya 1767 yang menjatuhkan Ayuthia (Siam-Islam) masih gagal menakluki Semenanjung seluruhnya. Jepun, walaupun menyeluruhi Semenanjung, kehadirannya selama 3½ tahun itu hanya satu kependudukan, bukan penjajahan. Kedudukan Sultan lebih dihormati Jepun berbanding Inggeris.

Bagaimana pula dengan fakta penjajahan British? Proses yang membawa penjajahan Inggeris (1824-1942 & 1945-1957) bermula dengan Pulau Pinang (1786), Singapura (1819) dan Melaka (1824). Mengikut penyejarahan formal, sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda (1924), Inggeris tidak pernah campur tangan dalam urusan ‘negeri-negeri Malaysia’ kecuali Sarawak (James Brooke-1873). Penubuhan Negeri-negeri Selat (NNS) pada  1826 mendorong British memindahkan pentadbirannya dari Calcutta ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Sahlah bagi British, NNS ialah Tanah Jajahan (Colonized States). Manakala, yang lain hanyalah ‘Tanah Lindungan’ (Protected States) sahaja.

Terdapat persepsi bahawa istilah ‘Tanah Jajahan’ dan ‘Tanah Naungan’ tidak mempunyai makna yang signifikan. Sebagai penghakiman, peristiwa 1912 dan keputusan mahkamah British perlu dirujuk. Dalam kes seorang Pegawai Daerah British meminta bantuan Pasukan Polis NNS di wilayah Perak bersebelahan Seberang Prai kerana desas akan berlaku huru-hara, mahkamah Negeri-negeri Selat (NNS) menegaskan bahawa British hanya berkuasa dalam urusan ‘Tanah Jajahan’ tetapi tiada kuasa dalam urusan ‘Tanah Naungan’ dan tangkapan yang diambil diputuskan sebagai tidak sah.

Status ‘Tanah Naungan’ kekal di bawah kekuasaan Sultan. Sehingga dalam kes Shaik Abdul Latif V Shaik Elias Bux (1915, 1 FMSLR 204), Edmonds J.C. turut mengakui bahawa undang-undang yang terpakai kepada orang-orang Melayu ialah undang-undang Islam. Seterusnya dalam kes Ramah V Laton (1927), 6 FMSLR 128), majoriti Mahkamah Rayuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah memutuskan bahawa undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing, tetapi undang-undang tempatan dan undang-undang negara. Kuasa dan perundangan berbeza British di ‘Tanah Jajahan’ dan ‘Tanah Naungan’ memberi indikator jelas dalam hal ini.

Status ‘Tanah Naungan’ kekal dalam semua pentadbiran British seperti Sistem Residen (1874), Perjanjian Persekutuan (1896), Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1896), Majlis Mesyuarat Persekutuan (1909), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (1909) dan Dasar Disentralisasi (1920-an). Sesetengah pegawai Britsh yang opportunist dan tidak berpuas hati membelakangi dasar ini dengan mengaburkan isi perjanjian dan pentadbiran seperti Perjanjian Persekutuan agar mendapat kuasa yang lebih besar dan tidak dipersalahkan London.

Setelah kependudukan Jepun (1942-1945) selama 3 ½ tahun, status ‘Tanah Naungan’ ini masih sama dan British ingin mengubahnya menerusi Kesatuan Malaya (1946). Jika berjaya, kedaulatan Sultan dihapuskan, hak rakyat asal direntap dan Semenanjung menjadi ‘Tanah Jajahan British’ yang sah dan dikenali sebagai British Malaya seperti Sabah (British Borneo). Ia penting bagi British untuk menjayakan gagasan The Great Britain. Namun, Kesatuan Malaya gagal dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Sehingga Hari Merdeka 31 Ogos 1957, negara ini dari sudut sejarah dan perundangan dimerdekakan sebagai ‘Tanah Naungan’, bukan sebagai ‘Tanah Jajahan’.

Persoalannya, untuk tetahun baru dan hehari ‘merdeka’ berikutnya, di mana wajar kita letakkan penjajahan selama 446 tahun itu? Adakah penjajahan sebenar hanya berlaku 12 tahun (1946-1957) atau 2 tahun (1946-1948) atau tidak berlaku sama sekali? Salam merdeka dan penyejarahan negara perlu lebih dimaknai agar jalur itu lebih gemilang dan agar hubungan antara serumpun, kaum dan agama diharmonikan. Ini juga memaknai Islam sebagai agama Persekutuan dan pelbagai aspek selainnya. Kerana, kita tidak pernah dijajah.


Kesimpulannya, Malaysia dan negara dunia perlu merdeka dari ‘eurosentrisme sejarah’ ini. ‘Kemerdekaan’ dan sejarah kita bukan yang ditulis mereka untuk disambungwariskeramatkan lagi lebih 50 tahun mendatang. Kebergantungan kita mesti ditamatkan melalui kajian perbandingan untuk mencipta satu pembaharuan yang tidak bersifat artificial. Dalam konteks sejarah, ianya anjakan terhadap penyejarahan. Dalam Islam dan semangat hidup beragama, sejarah menjadikan manusia berTuhan dan menyambut SALAM MERDEKA berTUHAN.

Tags: , ,

0 comments to "SALAM MERDEKA : NEGARA KITA TIDAK PERNAH DIJAJAH."

Leave a comment