HALAMAN BLOG RASMI
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA

MAKLUMAN PENTING

Layari laman baru PUM di http://www.pum.org.my/. Kami menghargai komentar dan cadangan anda untuk penampilan yang lebih baik bagi laman web ini. KLIK

Home , › SEKAT KUMPULAN SEKS SONGSANG

SEKAT KUMPULAN SEKS SONGSANG


Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA

KUALA LUMPUR 25 Dis. – Kerajaan diminta mengambil pendekatan atau tindakan yang lebih serius dalam memantau kegiatan kumpulan pengamal seks songsang yang semakin bebas dan berani di negara ini.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, sudah tiba masanya bahagian penguat kuasa agama menyekat semua aktiviti kumpulan terbabit dengan memantau kelab malam yang diwujudkan khusus untuk golongan tersebut.

Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor harus menjadi penggerak dalam menangani gejala itu ekoran kegiatan songsang itu lebih terkenal dan banyak di kawasan Lembah Klang.

“Kerajaan perlu bertindak segera, jangan biarkan perkara ini merebak baru mahu mengambil tindakan, kita bimbang ia akan menjadi lebih parah. Lebih baik ambil tindakan sekarang bagi menyelamatkan keadaan.

“Persatuan sedia membantu pihak kerajaan dalam menangani gejala ini, kita pernah terlibat memantau perkara ini dan turun ke kawasan ‘panas’ untuk secara sukarela menjadi kaunselor kepada golongan itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Baru-baru ini, laman web Seksualiti Merdeka menghasilkan sebuah projek video bertajuk It Gets Better In Malaysia: Memberi harapan untuk lesbian, gay, biseksual, transeksual (LGBT) yang telah mencetuskan kontroversi terutama menerusi salah satu videonya iaitu seorang lelaki Melayu berumur 32 tahun secara terbuka mengaku beliau seorang gay.

Mohd. Roslan berkata, hasil sesi dialog dan kaunseling oleh persatuan bersama golongan terbabit, pihaknya dimaklumkan oleh golongan itu bahawa belum pernah ada NGO atau pihak lain yang mendekati atau cuba membantu mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap, kerajaan dapat melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kesan positif terhadap golongan tersebut.

Sementara itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhd. Razak Idris turut menggesa kerajaan untuk bertindak segera menangani perkara itu kerana merasakan institusi sosial di negara ini semakin rapuh dan lemah.

Kata beliau, ABIM mencadangkan satu program pendidikan kesedaran tentang bahaya gejala itu mengikut perspektif hukum Islam diperkenalkan dalam masyarakat hari ini agar mereka tidak mudah terjebak dengan kegiatan itu.

“Kegiatan songsang itu harus ditentang, jelas melanggar batas syariah dan perundangan Islam, tambahan pula sesetengah daripada kumpulan itu semakin berani dan berbangga dengan aktiviti mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Nor Azman Amat pula berpendapat, selain kerajaan, NGO berkaitan perlu mendekati golongan itu sebagai kumpulan yang memerlukan bantuan.

Kata beliau, hukuman bukan jalan penyelesaian untuk menghentikan perbuatan songsang golongan itu sebaliknya isi hati mereka perlu difahami terlebih dahulu sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Walaupun negara kita ada jabatan yang bertanggungjawab menguatkuasakan segala perkara atau perbuatan yang salah tetapi persoalannya sejauh mana ketegasan pelaksanaan penguatkuasaan itu,” katanya.

Sumber :

Tags: ,

0 comments to "SEKAT KUMPULAN SEKS SONGSANG"

Leave a comment