HALAMAN BLOG RASMI
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA

MAKLUMAN PENTING

Layari laman baru PUM di http://www.pum.org.my/. Kami menghargai komentar dan cadangan anda untuk penampilan yang lebih baik bagi laman web ini. KLIK

Home , › KENYATAAN MEDIA PUM ISU AKIDAH

KENYATAAN MEDIA PUM ISU AKIDAH

KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA
20 OKTOBER 2011

1.         Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) amat prihatin dalam soal mempertahankan aqidah serta kesucian agama Islam. Dasar untuk berpegang teguh kepada aqidah Islam adalah jelas seperti yang termaktub dalam surah al-An’aam ayat 153 yang bermaksud:
“dan bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”

2.         Oleh yang demikian, PUM adalah sangat bertegas dalam isu-isu yang berkaitan dengan aqidah, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempertahan serta memperkukuhkan aqidah umat berpandukan kepada kekuatan serta bidangkuasa yang ada. 

3.         Dalam mendepani isu aqidah umat, PUM berpandangan salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian berat adalah soal kefahaman umat Islam tentang manhaj serta prinsip aqidah Islam yang sebenar. Pada hemat PUM, kegoyahan pegangan aqidah umat Islam adalah kesan langsung daripada kegagalan umat Islam untuk memahami prinsip serta manhaj aqidah dalam Islam. 

4.         Oleh yang demikian, berpegang kepada prinsip keilmuan yang akan tunjang kepada penghayatan umat, PUM berpandangan adalah menjadi komitmen kepada para ulamak dan agamawan untuk turun ke lapangan umat memberikan kefahaman berkaitan ilmu-ilmu aqidah Islam. Platform-platform ilmu seperti institusi sekolah, masjid, surau, madrasah, pusat

pengajian tinggi, jabatan serta agensi awam dan swasta perlu disemarakkan dengan kuliah pengajian yang berteraskan aqidah Islam.

5.         Sesungguhnya legasi-legasi keilmuan berkaitan aqidah perlulah ditebarkan seluasnya kepada umat tidak kira sama ada kepada kelompok kanak-kanak, remaja dan dewasa. PUM amat percaya dengan kefahaman berteraskan ilmu adalah tapak asas kepada penghayatan aqidah yang kukuh serta mampu menjadi benteng ampuh bagi menghadapi apa jua cabaran termasuk dakyah-dakyah yang sengaja dirancang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Dengan ilmu dan iman yang mantap, umat Islam pasti tidak akan mengorbankan aqidah suci yang diimaninya.

 6.         Memang sudah menjadi tradisi para ulamak serta agamawan termasuk PUM yang sentiasa menjadikan platform ilmu sebagai wasilah untuk memperkukuhkan kefahaman aqidah umat. Sesungguhnya kita mempunyai banyak mekanisme untuk memperkukuhkan aqidah umat Islam dalam konteks Malaysia. Sehubungan itu, adalah amat penting kepada semua pihak untuk berlapang dada serta menghormati usaha-usaha untuk memperteguhkan aqidah umat selagimana usaha tersebut diiktiraf syarak dan menjunjung tinggi prinsip maqasid al-syariah.

Sekian, terima kasih.
 

Ustaz Nik Muhd Marzuki Muhd Nor
Pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa
Persatuan Ulama’ Malaysia

Tags: ,

0 comments to "KENYATAAN MEDIA PUM ISU AKIDAH"

Leave a comment