Showing posts with label isu. Show all posts
PUM Kesal Ada Pihak Cuba Menyebar Fitnah Melalui SMS
Persatuan Ulama Malaysia kesal dengan segelintir manusia yang cuba mengheret PUM dalam isu yang melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
SMS yang dihantar oleh pihak-pihak tertentu dan diterima oleh pihak kami berbunyi:
“Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menolak cara Anwar cuba gulingkan kerajaan dgn kekerasan. Islam melarang & melaknak umatnya yg menimbulkan kekacauan. Kpd semua rakyat jgn terlibat dalam demo berdarah pd 9 Jan. Sebarkan.”
Ingin ditegaskan bahawa PUM tidak pernah mengeluarkan apa-apa SMS mahupun kenyataan rasmi dalam hal ini. Pada kami, jika ianya isu yang membabitkan keselamatan, eloklah pihak keselamatan yang menjaganya. Isu politik, diselesaikan melalui saluran sepatutnya. Begitu juga dengan isu-isu lain.
Oleh yang demikian, pihak kami berharap penyebaran SMS fitnah yang disandarkan atas nama PUM ini dihentikan segera dan jangan heret PUM terlibat dalam isu-isu sebegini.
KENYATAAN MEDIA PUM ISU AKIDAH
KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN ULAMA’ MALAYSIA
20 OKTOBER 2011
1. Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) amat prihatin dalam soal mempertahankan aqidah serta kesucian agama Islam. Dasar untuk berpegang teguh kepada aqidah Islam adalah jelas seperti yang termaktub dalam surah al-An’aam ayat 153 yang bermaksud:
“dan bahawa Sesungguhnya Inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
2. Oleh yang demikian, PUM adalah sangat bertegas dalam isu-isu yang berkaitan dengan aqidah, semua pihak perlu memainkan peranan untuk mempertahan serta memperkukuhkan aqidah umat berpandukan kepada kekuatan serta bidangkuasa yang ada.
3. Dalam mendepani isu aqidah umat, PUM berpandangan salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian berat adalah soal kefahaman umat Islam tentang manhaj serta prinsip aqidah Islam yang sebenar. Pada hemat PUM, kegoyahan pegangan aqidah umat Islam adalah kesan langsung daripada kegagalan umat Islam untuk memahami prinsip serta manhaj aqidah dalam Islam.
4. Oleh yang demikian, berpegang kepada prinsip keilmuan yang akan tunjang kepada penghayatan umat, PUM berpandangan adalah menjadi komitmen kepada para ulamak dan agamawan untuk turun ke lapangan umat memberikan kefahaman berkaitan ilmu-ilmu aqidah Islam. Platform-platform ilmu seperti institusi sekolah, masjid, surau, madrasah, pusat
pengajian tinggi, jabatan serta agensi awam dan swasta perlu disemarakkan dengan kuliah pengajian yang berteraskan aqidah Islam.
5. Sesungguhnya legasi-legasi keilmuan berkaitan aqidah perlulah ditebarkan seluasnya kepada umat tidak kira sama ada kepada kelompok kanak-kanak, remaja dan dewasa. PUM amat percaya dengan kefahaman berteraskan ilmu adalah tapak asas kepada penghayatan aqidah yang kukuh serta mampu menjadi benteng ampuh bagi menghadapi apa jua cabaran termasuk dakyah-dakyah yang sengaja dirancang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Dengan ilmu dan iman yang mantap, umat Islam pasti tidak akan mengorbankan aqidah suci yang diimaninya.
Sekian, terima kasih.
Ustaz Nik Muhd Marzuki Muhd Nor
Pengerusi Lajnah Perhubungan Antarabangsa
Persatuan Ulama’ Malaysia
PENARAFAN UNIVERSITI PINCANG
PENARAFAN UNIVERSITI PINCANG
Oleh Nazmi Yaakub
2011/05/10
Ketidakseimbangan Kuantitatif Berbanding Kualitatif Jejas Mutu
PENARAFAN institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut membabitkan budaya ilmu tidak boleh mengikuti sistem nilai dan kaedah dari Barat semata-mata, sebaliknya perlu menggunakan pandangan alam Islam dan mengambil kira keperluan setempat.
Tidak hairanlah keghairahan sebahagian universiti di negara ini dengan penarafan dari kaca mata Barat ditempelak pada Forum Penarafan Universiti: Hanya Beban Pengurusan? di Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Malah, sistem penarafan universiti dunia yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) dan QS World University Rankings (QS) turut dianggap menggunakan neraca yang tidak stabil dan kayu ukur yang berubah-ubah.
Meskipun kesan positif penarafan dapat meningkatkan kualiti kerja dan memperbanyakkan penerbitan, Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail menganggap ia tidak mengambil kira falsafah pendidikan yang sebenar.
“Ia semata-mata mengejar tuntutan globalisasi tanpa mengira destinasi, tujuan dan paradigma yang berbeza antara Barat dengan Timur. Kita memang mahukan teknologi sebaik Amerika Syarikat (AS), tetapi kita mahu membina tamadun yang berasaskan nilai sendiri,” katanya pada forum yang dipengerusikan personaliti RTM, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Dr Mat Rofa yakin bahawa penarafan hanya mengkaji aspek kuantitatif semata-mata, sedangkan Falsafah Pendidikan Negara mahu melahirkan pelajar yang bersepadu daripada aspek intelek, jasmani dan rohani.
“Memang teknologi AS berjaya melepasi angkasa raya, tetapi nilai kemanusiaan mereka jatuh sehina-hinanya dan jauh berbeza daripada falsafah pendidikan negara kita. Kita bermula dengan ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu’, iaitu pembacaan, kajian dan analisis ilmu untuk mengenal kebenaran,” katanya pada forum anjuran Unit Syubban, Persatuan Ulama Malaysia (PUM).
Beliau berkata, penarafan yang hanya mengambil kira kuantitatif adalah tindakan memperdagangkan ilmu yang akhirnya membentuk kuantiti pelajar yang besar, tetapi kosong jiwanya.
“Ini kerana matlamat dan metodologi universiti meletakkan ilmu setaraf dengan produk kilang serta melatih pelajar untuk menjadi robot. Kita sewajarnya membezakan antara sistem nilai dengan teknologi kerana matlamat pendidikan adalah mengiktiraf keagungan Tuhan,” katanya.
Dr Mat Rofa mengakui teknologi dari Barat boleh diambil, tetapi dengan syarat sistem nilai yang ada di Barat perlu diubah mengikut paradigma dan roh kita sebagai Muslim, sekali gus menapis ilmu yang dibawa pulang.
Pandangan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom, tidak kurang menarik apabila beliau menganggap keghairahan mengejar penarafan boleh mendorong kepada manipulasi kaedah penilaian tanpa memperbaiki kualiti universiti.
“Universiti menggunakan penarafan sebagai asas untuk mencari kualiti sedangkan penarafan sebenarnya bukan matlamat kepada penubuhannya.
“Senario semasa menunjukkan kriteria penilaian dalam penarafan itu dijadikan metode untuk memperbaiki mutu universiti dengan menganggap kenaikan dalam kedudukannya dapat mempertingkatkan kualiti,” katanya.
Dr Azmi memberikan contoh kriteria bilangan pelajar antarabangsa boleh dimanipulasi dengan menarik seberapa ramai pelajar dan kakitangan asing tanpa mempedulikan latar mereka.
“Saya suka pelajar dari luar yang boleh memberikan pandangan dan pendapat lain serta memperluaskan pemikiran kita, tetapi ada sebabnya pelajar asing memilih universiti di negara ini, iaitu pendidikan yang baik.
“Hal ini perlu dibina secara natural sehingga mereka sendiri memilih universiti kita kerana pendidikan serta kita pula menyaring mereka untuk mendapatkan pelajar yang berkelayakan,” katanya.
Dalam konteks jurnal ISI, beliau menganggap sesuatu jurnal dipilih bukan kerana isi kandungannya, sebaliknya kualiti editorial termasuk ketepatan masa terbitan.
Pandangan itu diperakukan Pensyarah Fakulti Perubatan UM, Prof Dr Kamaruddin Mohd Yusoff yang menolak sistem penarafan universiti dari luar negara yang tidak menilai secara menyeluruh, sebaliknya hanya melihat aspek teknikal seperti jumlah penerbitan jurnal dan kertas kerja.
Bagaimanapun, beliau mengakui keperluan penarafan untuk menggalakkan universiti bersaing secara akademik, sekali gus menyarankan penarafan dibuat dalam negara dengan kriteria penilaian ditentukan oleh Majlis Profesor Negara (MPN).
“Adalah mustahil untuk membandingkan universiti di seluruh dunia seperti UM dengan 27,000 pelajar yang majoriti ijazah pertama dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dengan 10,000 pelajar yang kebanyakannya sarjana.
“Dengan jumlah 6,000 pelajar sarjana di MIT, tidak mustahil untuk institusi itu mengeluarkan lebih banyak kertas kerja dan tesis, manakala sebahagian IPT yang lain pula adalah universiti teknikal,” katanya.
Dengan melihat UM, Prof Dr Kamaruddin berkata, IPT itu memiliki semua fakulti termasuk Akademi Pengajian Islam (API) yang tidak banyak mengeluarkan jurnal dalam ISI kerana mereka menerbitkannya dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab.
“Kita tidak menolak kuantitatif kerana ia melekat kepada kualitatif seperti roh bersatu pada jasad, tetapi tidak boleh hanya mengangkat kuantitatif. Sekiranya pengukuran universiti hanya berdasarkan penarafan, bagaimana kita menilai ilmu yang dibina ulama dan ilmuwan silam,” katanya.
Beliau memberi contoh kedudukan Universiti al-Azhar yang tidak termasuk dalam senarai penarafan itu, tetapi pengiktirafan terhadap institusi terbabit terjelma melalui penghormatan dan nilai intelektual pensyarahnya.
“Apabila kita menjadi ahli ekonomi yang menjual ilmu dan membentuk pelajar secara kuantitatif, tidak hairanlah pelajar yang memperoleh CGPA 4 apabila menjadi jurutera yang membina jambatan dan hospital, binaan itu runtuh,” ujarnya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penarafanuniversitipincang/Article
PERPADUAN HAMAS DAN FATAH MENYENTAK ISRAEL
PERPADUAN HAMAS DAN FATAH MENYENTAK ISRAEL
PUM ingin mengucapkan syabas kepada pihak Hamas dan Fatah yang telah bersetuju untuk membentuk penggabungan di antara dua kumpulan besar Palestin tersebut. Mahmoud Abbas dan Khaled Meshaal sudah menandatangai perjanjian damai dan kerjasama tersebut.
Ia menandakan satu kejayaan ummah untuk membentuk kesatuan dalam berdepan dengan pihak rejim zionis.
Berita kerjasama ini sudah semestinya membuatkan Israel tersentak dan pening kepala.
Ramai penganalisis Asia Barat juga seakan tidak percaya dan tidak boleh memikirkan bagaimana kedua-dua kumpulan ini boleh bersatu. Malah ada di antara mereka yang dari awal lagi menjangka ia tidak akan berlaku.
Kerjasama tersebut pasti tidak disukai rejim zionis. Mereka sudah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak menghormati prinsip kebebasan rakyat Palestin untuk menentukan corak politik mereka. Israel menyatakan tidak mahu bekerjasama dengan kumpulan yang baru bergabung ini.
Israel memainkan lagu lama tanpa irama, iaitu mengelaskan Hamas sebagai pengganas...dan barangsiapa yang bekerjasama dengan Hamas, maka ia akan dianggap menyokong pengganas...maka ia mesti ditentang.
Ternyata apa yang berlaku membuktikan bahawa rakyat Palestin semakin tidak gentar dengan rejim zionis. Mereka sanggup berdepan mempertahankan hak mereka.
Dunia luar juga sudah mula membuka mata, walaupun masih banyak yang prejudis terhadap rakyat Palestin, terutama kuasa-kuasa barat.
Pastinya perkembangan Hamas dan Fatah ini akan membuka lembaran baru perjuangan rakyat Palestin yang sudah boleh menumpukan kepada penubuhan sebuah negara Palestin berdaulat. Mereka akan terus berjuang sehingga pihak antarabangsa mengiktiraf kedaulatan mereka.
Syabas buat rakyat Palestin..
Salam hormat,
Dr Mohd Roslan Mohd Nor
Setiausaha Agung

