HALAMAN BLOG RASMI
PERSATUAN ULAMA MALAYSIA

MAKLUMAN PENTING

Layari laman baru PUM di http://www.pum.org.my/. Kami menghargai komentar dan cadangan anda untuk penampilan yang lebih baik bagi laman web ini. KLIK

Home , , › NGO SAMBUT BAIK LARANGAN JAKIM

NGO SAMBUT BAIK LARANGAN JAKIM

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Larangan menggunakan istilah bufet Ramadan bagi hotel yang tidak mempunyai sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disambut baik pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Jakim juga diminta meningkatkan pemantauan bagi memastikan istilah itu tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak hotel.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, larangan itu secara tidak langsung juga boleh mengelakkan pengguna keliru dengan status halal hotel berkenaan.

“Sebagai umat Islam, kita harus memastikan makanan yang dimakan itu halal lagi bersih kerana ia akan menjadi darah daging dan seterusnya penentu kepada kehidupan seseorang itu.

“Alangkah ruginya, setelah menahan lapar dan dahaga sepanjang hari dan apabila tiba waktu berbuka mengambil makanan yang tidak diketahui status halal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jakim menerusi satu kenyataan media menasihatkan pengusaha hotel yang tidak memiliki sijil halal Jakim supaya tidak menyalahgunakan istilah yang boleh mengelirukan pengguna seperti bufet Ramadan.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, penyalahgunaan istilah halal boleh diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Menurut Jakim, sehingga semalam hanya 22 hotel melibatkan 51 dapur di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diberikan sijil halal oleh Jakim. 

Roslan berkata, pengusaha kecil-kecilan di bazar Ramadan juga harus berperanan menyediakan makanan halal dengan memilih bahan-bahan tidak diragui sumber serta kebersihannya.

Sementara itu Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pengusaha hotel perlu memandang serius kepentingan sijil halal disebabkan permintaan pengunjung yang meningkat terutama pada bulan Ramadan.

“Pengusaha hotel seharusnya mengambil kira sensitiviti pengguna Islam terutama dalam hal penyediaan makanan.

“Sehubungan itu, pihak hotel harus mewujudkan dapur khas yang mengikut piawaian yang berlandaskan hukum syarak,” katanya.

Utusan Malaysia 11/08/2010 KLIK 

List hotel yang mendapat sijil halal KLIK

Tags: , ,

0 comments to "NGO SAMBUT BAIK LARANGAN JAKIM"

Leave a comment